Semakan Wang Tak Dituntut Online eGUMIS 2018

Tahun lepas boleh dikatakan satu istilah baru viral di Facebook iaitu semakan Wang Tak Dituntut. Ramai orang terpinga-pinga apakah wang tidak dituntut yang dikatakan jumlahnya mencecah bilion ringgit!

Bagi memudahkan kerja, Jabatan Akauntan Negara (JANM) melancarkan satu portal yang dikenali sebagai eGUMIS.

Sama seperti eCCRIS, portal ini diharapkan memudahkan pengguna untuk membuat semakan online wang tak dituntut.

Apakah Wang Tak Dituntut

Berikut pengenalan tentang Wang Tak Dituntut atau WTD.

Menurut portal tersebut, WTD terbahagi kepada 3 kategori iaitu:

Pertama – wang yang perlu dibayar kepada tuan empunya namun tidak dibayar dalam satu tempoh masa tidak kurang dari setahun, termasuklah:

  • Gaji, upahan, bonus, komisen dan wang lain yang kena dibayar kepada kakitangan;
  • Dividen;
  • Keuntungan yang diisytiharkan untuk dibahagikan;
  •  tuntutan insurans yang telah diluluskan untuk bayaran;
  • Draf bank, cashier’s order, dan dokumen lain yang mempunyai fungsi yang serupa di mana tempoh sah lakunya telah luput;
  • Simpanan tetap (tanpa arahan pembaharuan automatik) yang telah matang;
  • Cagaran dan deposit apabila tujuan wang itu dikutip telah tercapai.
  • Pemiutang pelbagai atau penghutang pelbagai berbaki kredit.

Kedua – wang dalam akaun yang tidak lagi dikendalikan oleh tuan empunya akaun dalam satu tempoh masa tidak kurang dari 7 tahun, contohnya:

  • Akaun simpanan;
  • Akaun semasa;
  • Simpanan tetap (yang mempunyai arahan pembaharuan automatik).

Ketiga – wang dalam sesuatu akaun dagangan yang telah tidak dikendalikan melalui apa-apa urusniaga dalam satu tempoh masa tidak kurang dari dua tahun, seperti:

  • Akaun pemiutang dagangan
  • Akaun penghutang dagangan berbaki kredit

Semakan Wang Tak Dituntut Online eGUMIS

Buat masa sekarang, JANM belum mengaktifkan portal eGUMIS yang dikatakan akan mula beroperasi pada suku kedua tahun ini.

Jadi bagi anda yang ingin menyemak wang tak dituntut, sila ikuti beberapa langkah di bawah:

  1. Sila ke kaunter JANM pada waktu bekerja
  2. Bawa bersama beberapa dokumen penting seperti MyKAD termasuk salinan sijil kematian sekiranya ingin menyemak bagi si mati
  3. Serahkan dokumen di kaunter JANM untuk pendaftaran
  4. Pegawai JANM yang bertugas akan membuat semakan WTD
  5. Status WTD akan diketahui dalam beberapa minit sahaja tanpa eGUMIS
  6. Pegawai berkenanan akan menyenaraikan segala wang yang boleh dituntut beserta cara membuat tuntutan
  7. Sama seperti eGUMIS semakan ini 100% percuma

Penting untuk makluman anda bahawa Kementerian Kewangan atau  Pendaftar Wang Tak Dituntut tidak pernah melantik mana-mana individu/firma/syarikat sebagai orang tengah atau agen untuk urusan tuntutan bayaran balik Wang Tak Dituntut.

Untuk maklumat lanjut layari portal rasmi JANM di http://www.anm.gov.my/