Maklumat Jawatan Pegawai Imigresen KP19 (Kemaskini 2018)

Berikut deskripsi tugas dan maklumat jawatan Pegawai Imigresen KP19 seperti yang dimaklumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Untuk makluman, terdapat 415 kekosongan jawatan Pegawai Imigresen yang diiklankan di portal SPA. Tarikh tutup permohonan adalah pada 25 Mac 2018.

Bagi calon yang berkelayakan, anda dipelawa untuk memohon jawatan tersebut dengan mengisi borang SPA8i secara online.

Pegawai Imigresen KP19

Tugas Pegawai Imigresen adalah untuk menyemak permohonan rakyat Malaysia terutama bagi urusan passport dan dokumen perjalanan ke luar negara.

Selain itu, mereka juga bertanggungjawab menguruskan pengeluaran visa, pas dan permit kepada rakyat asing yang memasuki negara untuk tujuan melancong, melabur, berniaga, belajar dan sebagainya.

Pegawai Imigresen KP19 juga ditugaskan di pintu-pintu masuk sempadan bagi urusan penguatkuasaan.

Gaji

Gaji minimum bermula dari RM1,360 dan boleh mencecah maksimum gaji RM4,052 dengan kadar kenaikan gaji tahunan sebanyak RM100 setahun.

Pegawai Imigresen juga boleh memilih salah satu daripada 4 jenis persaraan dalam skim pencen sektor perkhidmatan awam.

Syarat Lantikan

Calon yang berminat untuk memohon jawatan Pegawai Imigresen KP19 perlulah memenuhi syarat lantikan seperti berikut:

  • warganegara Malaysia
  • berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan
  • Sijil Pelajaran Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan
    (Gaji permulaan ialah pada Gred KP19: RM1,360.00); atau
  • Sijil Pelajaran Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam bidang berkaitan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya
    (Gaji permulaan ialah pada Gred KP19: RM1,416.40); atau
  • Sijil Pelajaran Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dalam bidang berkaitan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya
    (Gaji permulaan ialah pada Gred KP19: RM1,472.80)

Selain itu, calon juga perlu memenuhi syarat-syarat ukuran fizikal dan pancaindera seperti yang berikut:

  • tinggi sekurang-kurangnya 1.57m bagi lelaki dan 1.53m bagi wanita tanpa bersepatu
  • berat badan sekurang-kurangnya 48kg bagi lelaki dan 46kg bagi wanita
  • mempunyai ukuran Indeks Jisim Badan (BMI) di antara julat 19 hingga 26
  • mempunyai ukuran dada yang biasa sekurang-kurangnya 79sm dan semasa menarik nafas 84sm (lelaki sahaja)
  • lulus dalam ujian penglihatan bagi mata kiri dan kanan yang diuji berasingan dengan ketetapan V6/9 tanpa menggunakan cermin mata
  • pengecaman warna dan pendengaran yang tidak cacat
  • diperiksa dan diperakui sihat untuk berkhidmat oleh pengamal perubatan yang berdaftar

Calon bagi lantikan jawatan tersebut juga hendaklah memiliki Kepujian (sekurang-kurangnya Gred C) dalam subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia/Sijil Vokasional Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.

Sumber: Portal Rasmi SPA