Bantuan Sara Hidup (BSH) Ganti BR1M? Ini Yang Anda Perlu Tahu

Baru-baru ini dalam satu sidang media Tun Dr Mahathir telah memaklumkan BR1M atau Bantuan Rakyat 1Malaysia akan digantikan dengan nama baru iaitu Bantuan Sara Hidup (BSH).

Sebanyak RM1.6 bilion telah diperuntukkan bagi pembayaran BSH kepada 4.1 juta penerima pada 6 Jun nanti.

Bantuan Sara Hidup (BSH) 2018

Untuk makluman, BSH akan dikreditkan terus ke akaun penerima.

Sekiranya tiada nombor akaun, penerima akan menerima surat kelulusan yang boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional berhampiran.

Berdasarkan jadual pembayaran BR1M dikeluarkan kerajaan terdahulu, fasa kedua pembayaran dijadualkan pada 6 Jun ini membabitkan agihan RM400 untuk kategori isi rumah dan senarai e-Kasih dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, termasuk warga emas.

Kategori isi rumah dengan pendapatan bulanan RM3,001 hingga RM4,000 pula bakal menerima bayaran RM300.

Fasa ketiga pembayaran BR1M kepada kedua-dua kategori terbabit, yang membabitkan agihan kadar sama adalah pada Ogos ini.

Bonus Raya RM400 Turut Diumumkan

Selain Bantuan Sara Hidup, Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian bonus khas Aidilfitri sebanyak RM400 kepada semua penjawat awam gred 41 dan ke bawah.

Manakala pesara kerajaan akan menerima bonus raya RM200.

Dan berita baik lagi di mana dua hari sebelum Aidilfitri diskaun 50% diberikan kepada semua tol seluruh Malaysia.

Juga harga minyak RON95 dan Diesel kekal manakala harga RON97 diapungkan mengikut harga semasa.

Semoga pengumuman ini sedikit sebanyak menceriakan hari-hari anda.